Keputusan penuh Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) dijangka diketahui
selewat-lewatnya tengah malam ini, sekali gus membolehkan kerajaan
Persekutuan dan kerajaan negeri yang dipilih oleh rakyat dapat dibentuk.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Mohd.
Yusof berkata, keputusan paling awal dijangka diketahui pada pukul 7.30
malam ini.
Antara kawasan yang dijangka mendapat keputusan terawal ialah Baram,
Sarawak, Kinabatangan dan Silam di Sabah; Gua Musang, Kelantan; Hulu
Terengganu; Gerik, Perak dan Baling, Kedah.
“Pada peringkat perancangan SPR, kita akan umum majoriti mudah yang
dimenangi oleh parti yang bertanding pada peringkat negeri dan
seterusnya pada peringkat Parlimen.
“Bagaimanapun, semua ini bergantung kepada kelancaran perjalanan
pilihan raya jika tiada sebarang masalah, kekacauan, lancar, tiada
kesilapan, cuaca baik, tiada kiraan semula, Insya-Allah, sebelum pukul
12 malam, kita sudah tahu siapa yang menang,” katanya ketika dihubungi semalam.
Pilihan raya umum kali ini menyaksikan seramai 13.26 juta pengundi
akan mengundi di 26,219 tempat mengundi bagi memilih 222 orang Ahli
Parlimen dan 505 orang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN).
Bagi membentuk sebuah kerajaan Persekutuan, sesebuah parti politik
yang bertanding memerlukan sekurang-kurangnya kemenangan dengan majoriti
mudah sebanyak 112 kerusi Parlimen, manakala sebanyak 148 kerusi untuk
kemenangan dengan majoriti dua pertiga.
Abdul Aziz turut menasihatkan orang ramai supaya tidak percaya
dengan sebarang khabar angin daripada pelbagai saluran seperti khidmat
pesanan ringkas, Facebook, Twitter atau dari mulut ke mulut.
“Ini semua perang saraf kerana mahu menggagalkan proses demokrasi di
negara yang kita cintai ini dan saya harap Suruhanjaya Komunikasi dan
Multimedia akan dapat memantau dan mengambil tindakan terhadap pihak
yang tidak bertanggungjawab,” tegas beliau.
Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi SPR, Datuk Wan Ahmad Wan Omar,
turut menyatakan kemungkinan keputusan akan dapat diketahui lebih awal
berdasarkan pengalaman pada pilihan raya yang lalu.
“Keputusan awal akan diketahui di kawasan DUN (Dewan Undangan
Negeri) dan Parlimen yang mempunyai bilangan pengundi yang kecil
terutamanya di kawasan luar bandar,” katanya.
Beliau menjelaskan, 20 peratus daripada DUN dan Parlimen terletak di
kawasan luar bandar yang mempunyai pengundi kurang 15,000 orang.
Wan Ahmad kemudian mengingatkan mana-mana pihak supaya tidak
menghalang dan mengganggu pengundi untuk menjalankan kewajipan mereka.
“Jangan petugas-petugas parti nanti buat kerja-kerja polis. Ini
adalah satu kesalahan besar dan boleh dikenakan tindakan penjara tidak
melebihi dua tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya sekali,”
katanya.
Dalam pada itu, katanya, seramai 18 pemerhati antarabangsa yang
dijemput SPR untuk menyaksikan proses PRU-13, berpeluang meninjau
persiapan pusat pengundian di sekitar ibu negara semalam.
Wan Ahmad berkata, mereka terdiri daripada masing-masing enam wakil
dari Indonesia dan Thailand, masing-masing dua dari Myanmar dan Kemboja
serta dua wakil Sekretariat ASEAN yang juga merupakan petugas SPR di
negara mereka.
“Pemerhati asing ini juga akan memantau proses pengundian beberapa
kawasan Parlimen di Wilayah Persekutuan seperti Gombak, Titiwangsa dan
Setiawangsa termasuk proses pengiraan undi di Putrajaya esok (hari
ini),” katanya.[kosmo]