Rakyat Malaysia keluar mengundi hari ini untuk melaksanakan
tanggungjawab sebagai warganegara untuk memilih kerajaan yang akan
menerajui negara bagi tempoh lima tahun akan datang pada pilihan raya
umum ke-13 (PRU13).
Daripada 13,268,002 pengundi berdaftar yang layak mengundi, hanya
12,992,661 akan mengundi hari ini setelah 272,387 pengundi awal terdiri
daripada anggota tentera dan polis serta pasangan mereka mengundi awal
pada 30 April lepas.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dewan Undangan Negeri (Dun) dipertandingkan pada pilihan raya umum kali ini.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyediakan 8,245 pusat mengundi dengan
25,337 saluran mengundi yang dibuka mulai pukul 8 pagi hingga 5 petang.
Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan mengundi di Sekolah
Menengah Sains Sultan Haji Ahmad Shah, Pekan, Pahang manakala Timbalan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin pula akan mengundi di Sekolah
Menengah Sri Muar, Muar, Johor pagi ini.
Parlimen dibubarkan pada 3 April lepas manakala penamaan calon
berlangsung pada 20 April yang menyaksikan tiada kerusi yang menang
tanpa bertanding.
Menjelang hari pengundian, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusuf
menasihatkan para pengundi agar keluar mengundi awal pagi ini dan jangan
lupa membawa kad pengenalan masing-masing.
Ini berikutan ramalan cuaca dari Jabatan Meteorologi mendapati cuaca
dijangkakan baik pada pagi esok manakala hujan atau ribut petir berlaku
pada sebelah petang di sesetengah negeri.
Untuk PRU13, buat pertama kalinya dakwat kekal akan digunakan yang
mewajibkan setiap individu yang ingin mengundi untuk dicalit jari
telunjuk kiri mereka sebelum diberikan kertas undi.
BN yang terdiri daripada 14 parti komponen bertanding di 221 kerusi
Parlimen, manakala Parti Keadilan Rakyat (PKR) bertanding di 99 kerusi,
Bebas (79), PAS (73), DAP (51), STAR (28), Berjasa (9), SAPP (8), SWP
(6), KITA (2), PCM (2) dan Bersama (1).
Pada pilihan raya umum 2008, BN yang dipimpin bekas Perdana Menteri Tun
Abdullah Ahmad Badawi memenangi 140 kerusi Parlimen manakala gabungan
PKR-DAP-Pas membentuk kerajaan di Kelantan, Pulau Pinang, Kedah dan
Perak.
Bagaimanapun Perak kembali ke pangkuan BN selepas tiga anggota DUN
daripada gabungan itu bertindak meninggalkan parti masing-masing untuk
menjadi Adun Bebas yang menyokong BN.
Bagi memastikan proses pilihan raya berjalan lancar tanpa sebarang
kejadian yang tidak diingini, seramai 112,000 anggota pasukan Polis
Diraja Malaysia (PDRM) ditugaskan bagi menjaga keamanan dan meningkatkan
tahap keselamatan.
SPR menjangkakan keputusan pertama PRU13 boleh diketahui seawal-awalnya 7.30 malam ini.[sinar]