Seorang kanak-kanak perempuan berusia sembilan tahun yang hampir
hilang mukanya akibat ketumbuhan bersaiz bola sepak berjaya diselamatkan
oleh sekumpulan pakar bedah Britain.
Triny Amuhirwe dari Uganda kini memperoleh wajahnya semula hasil
usaha badan kebajikan Britain ‘Facing The World’ dan pasukan perubatan
yang menjalankan pembedahan ke atas mukanya dengan percuma.
Ketika muncul dalam rancangan televisyen This Morning semalam, ibunya Sarah memuji kumpulan yang menyelamat anaknya itu. “Terima kasih kepada pakar bedah dan badan kebajikan itu kerana menyelamat nyawa Triny. Anak saya mungkin mati jika tidak kerana usaha mereka,” katanya.
Menurut Sarah, dia mula menyedari ketumbuhan itu pada bahagian kanan muka Triny ketika dia berusia empat tahun.
“Saya sangka ia akan hilang. Sebaliknya ketumbuhan itu semakin membesar. Saya kemudian ke hospital. Tetapi doktor berkata, mereka perlu menunggu dan melihat apa yang akan terjadi,” kata Sarah.
Ketumbuhan itu mula membesar dan apabila Triny berusia tujuh tahun, Sarah membawanya semula ke hospital dan doktor memutuskan sudah tiba masanya untuk melakukan pembedahan.
Mulanya pembedahan itu kelihatan berjaya. Tetapi, ia tumbuh semula dalam masa dua minggu saja.
Pembedahan kedua juga gagal dan ketumbuhan itu kembali, lebih besar daripada sebelumnya.
“Ia lebih besar daripada yang pertama sehingga meliputi seluruh muka Triny,” kata Sarah.
Dalam pada itu, Triny yang menghidap masalah yang dinamakan fibrous dysplasia, mengalami kesakitan yang teruk, termasuk pening, sukar makan dan bernafas serta akhirnya gagal melihat menerusi mata kanannya.
Untuk menjadikan keadaan lebih buruk, dia diminta berhenti sekolah kerana gurunya tidak dapat menangani keadaan yang dihadapi kanak-kanak itu.
Bagaimanapun nasib Triny akhirnya berubah apabila seorang jiran menemui jururawat warga Amerika Syarikat yang bekerja di Uganda dan menceritakan keadaan kanak-kanak itu.
Jururawat berkenaan berhubung dengan ‘Facing The World’ yang membantu mengumpulkan dana untuk membawa Triny ke Britain bagi menjalani pembedahan.
November lalu, Triny tiba di London dan menjalani pembedahan selama 15 jam bagi membuang ketumbuhan itu.Kali ini doktor percaya mereka berjaya membuang sama sekali ketumbuhan itu.
Ditanya apa akan terjadi jika pembedahan itu tidak dilakukan, seorang pakar bedah terbabit, Jonathan Collier memberitahu rancangan berkenaan, “Lebih baik kita tidak berbincang mengenai perkara itu.”[metro]