Seorang pelagak ngeri di India yang memegang rekod Guiness World
Records untuk aksi flying-fox terpanjang menggunakan rambut meninggal
dunia ketika melakukan aksi berbahaya itu.
Sailendra Nath Roy, 49, yang juga merupakan seorang pegawai polis
cuba menyeberangi Sungai Teesta sejauh 180 meter pada Ahad lalu.
Selepas menyimpulkan rambut sepanjang paras bahunya pada takal di
atas wayar, Roy sempat menghabiskan separuh perjalanan. Malangnya, dia
tiba-tiba tersekat dan tidak dapat bergerak, lapor jurugambar AFP yang berada di tempat kejadian.
Beratus-ratus penonton yang pada mulanya bersorak memberi sokongan, kemudian menjerit ketakutan apabila melihat keadaan Roy.
"Pada ketika itu Roy kelihatan sangat panik dan cuba mencapai tali
kedua untuk sampai ke garisan penamat," kata seorang pegawai kanan polis
tempatan, K. Jayaraman.
Selepas 20 minit, pelagak ngeri itu tidak lagi bergerak sebelum
diselamatkan oleh penduduk tempatan. Tiada doktor atau ambulans
disediakan semasa persembahan itu dibuat yang turut ditonton oleh ahli
keluarga Roy.
Selepas dibawa ke hospital di Siliguri, 450 kilometer dari tempat
kejadian, dia disahkan mati oleh doktor akibat serangan jantung.
Terdahulu, Roy pernah menggunakan rambut untuk menarik sebuah enjin
dan empat gerabak kereta api warisan Darjeeling Himalayan Railway.