Mereka yang berumur 65 tahun ke atas dan kerap makan ikan mungkin
akan hidup dua tahun lebih lama berbanding warga emas yang tidak
memperoleh asid lemak omega 3 yang kebanyakannya ditemui pada makanan
laut.
Ketua penyelidik, Dariush Mozaffarian yang juga profesor di Jabatan
Epidemiologi di Fakulti Kesihatan Awam di Harvard berkata, mereka yang
memiliki tahap asid lemak omega 3 yang tinggi secara keseluruhannya
mempunyai risiko 27 peratus lebih rendah untuk mati cepat.
Golongan itu turut mempunyai risiko 35 peratus lebih rendah untuk
meninggal dunia disebabkan penyakit jantung, menurut penyelidikan yang
disiarkan di Annals of Internal Medicine, semalam.
Ketika kajian lain menunjukkan kaitan antara asid lemak omega 3 dan
tahap risiko yang rendah diserang penyakit jantung, penyelidikan ini
meneliti rekod warga emas untuk mengenal pasti sebarang kaitan antara
makan ikan dan risiko meninggal dunia.
Penyelidik memeriksa data untuk tempoh 16 tahun ke atas 2,700 warga
emas yang dianggap tidak mengambil makanan tambahan minyak ikan untuk
menghapuskan sebarang kekeliruan berhubung penggunaan makanan tambahan
atau perbezaan diet.
Kajian itu mendapati, mereka yang mempunyai tahap asid lemak yang
tinggi yang kebanyakannya diperolehi daripada ikan seperti salmon, tuna,
sardin, hering dan tenggiri, mempunyai risiko lebih rendah untuk
meninggal dunia akibat sebarang penyakit dan hidup secara purata 2.2
tahun lebih lama.
Penyelidik turut mengenal pasti asid dokosaheksaenoik (DHA) mempunyai
kaitan kuat dengan risiko rendah untuk meninggal dunia akibat diserang
penyakit jantung.[utusan]