Sekumpulan pencuri yang melarikan beberapa kereta mewah dan
berprestasi tinggi daripada sebahagian penduduk paling kaya di bandar
raya ini ditangkap selepas memuatnaikkan gambar dalam Facebook.
Ia termasuk gambar yang menunjukkan seorang anggotanya memakan
sandwic ‘wang.’ Menurut sumber polis, lapan lelaki itu mencuri sembilan
kereta, termasuk BMW, Range Rover, Porsche dan sebuah Mercedes berharga
RM500,000 di samping barang kemas, telefon bimbit, komputer riba dalam
15 rompakan berasingan.
“Polis akhirnya berjaya menangkap mereka selepas seorang anggota memuatnaikkan gambarnya duduk di atas bonet sebuah Range Rover curi dalam Facebook”, katanya.
Gambar itu membolehkan polis menemui beberapa gambar lain dalam laman
sosial itu dan pada telefon kumpulan berkenaan yang menunjukkan mereka
berbangga mengenai kekayaan masing-masing. Ia menunjukkan mereka duduk
di atas kereta curi, minum arak, memakai jam Rolex dan Cartier serta
bergaya bersama-sama longgokan not £20 dan £50.
Satu daripada gambar itu menunjukkan Conor Murphy, 19, menggigit wang berjumlah ratusan paun yang dikepitkan dengan dua roti.
Polis turut menemui rakaman video pada telefon mereka yang menunjukkan anggota kumpulan itu berlumba dengan kereta yang mereka curi. Mesej Blackberry yang digunakan oleh anggota kumpulan itu untuk mengatur rompakan juga ditemui.
Tujuh anggota kumpulan itu mengaku bersalah terhadap jenayah itu.
Seorang lagi, Rory Mason, 18, menafi terbabit dalam rancangan untuk
mencuri kereta. Dia bagaimanapun didapati bersalah.
Mahkamah Isleworth diberitahu mengenai bagaimana kumpulan terbabit memberi tumpuan terhadap kediaman yang memiliki kereta mewah.
Kegiatan itu dijalankan antara April dan September tahun lalu dan
kawasan yang menjadi sasaran ialah di Notting Hill, Kensington dan
Kensal Green. [metro]