Hotel berbentuk piramid setinggi 105 tingkat yang dibina di ibu
negara Korea Utara ini sejak lebih 20 tahun lalu, akhirnya akan dibuka.
Sebahagian Hotel Ryugyong diharap dapat dibuka pertengahan tahun depan, 26 tahun selepas pembinaannya bermula.
Ia adalah bangunan ke-47 paling tinggi di dunia dengan ketinggan 335 meter dan mempunyai jumlah aras kelima paling banyak.
Reto Wittwer, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kempinski AG, syarikat
pengendali hotel antarabangsa berkata, hanya 150 bilik di tingkat paling
atas akan digunakan untuk hotel berbanding 3,000 yang dicadangkan
sebelum ini.
Baki ruang bangunan berkenaan akan digunakan untuk kedai, pejabat, dewan majlis dan restoran. Struktur bangunan yang amat besar itu yang digelar ‘Hotel Kiamat’ sebelum ini menjadi sumber tarikan dan cemuhan di seluruh dunia serta memalukan pihak berkuasa negara itu yang diketuai Parti Pekerja Korea.
Korea Utara mula membina Ryugyong pada 1980-an tetapi menghentikannya apabila negara itu dilanda krisis ekonomi dan kehabisan pembiayaan pada 1990-an.
Ia diundi sebagai ‘Bangunan Terburuk dalam Sejarah Peradaban Manusia’
oleh majalah Esquire pada 2008 yang menyifatkan Ryugyong sebagai
‘sangat hodoh walaupun pada standard komunis.’
Pembinaan luaran
bagaimanapun disambung semula pada 2009 apabila syarikat Mesir, Orascom
Telecom, mengambil alih. Beberapa laporan baru-baru ini berkata, hotel
itu akhirnya sudah siap untuk dibuka.
Orascom Telecom melancarkan rangkaian telefon bimbit di negara itu pada 2008 dan dilapor membelanjakan RM660 juta untuk menyiapkan permukaan bangunan berkenaan.
Pada September lalu, sebuah agensi pelancongan yang
berpejabat di Beijing dibenar melihat bahagian dalam bangunan itu dan
menyiarkan gambar lobi yang masih berlantai dan berdinding konkrit.[metro]