ituini. Dikuasakan oleh Blogger.

Selasa, 7 Jun 2016

Lumba gali kubur

Debrecen (Hungary): Sebanyak 18 pasukan dengan setiap satu terdiri daripada dua orang mempamerkan kemahiran menggali kubur Jumaat lalu untuk merebut tempat dalam pertandingan peringkat wilayah yang akan diadakan di Slovakia hujung tahun ini.
Peserta menggali kubur di tanah perkuburan di Debrecen, timur Hungary dan diadili berdasarkan gaya dan kepantasan termasuk, rupa dan bentuk kubur yang digali.
Peserta, Janos Jonas, 63, dan anaknya Csaba, menganggap pertandingan itu penutup kehidupannya sebagai penggali kubur kerana dia akan bersara.

“Kami tidak perlu berlatih pun kerana ini yang kami lakukan setiap hari. Tanah dan cuaca juga sesuai untuk acara ini,” katanya.
Sementara itu, penganjur Iren Kari berharap pertandingan itu meningkatkan martabat dan penghormatan terhadap penggali kubur seterusnya menarik lebih ramai orang melakukan kerja itu yang semakin kurang popular disebabkan lebih ramai memilih membakar mayat orang tersayang.
“Hakikatnya golongan ini berdepan kematian setiap hari. Kita perlu ingat, penggali kubur juga manusia biasa dan memerlukan sokongan psikologi.
“Selain itu, golongan muda kurang berminat melakukan kerja ini,” kata Kari.
Pertandingan itu melihat peserta menggunakan peralatan masing-masing untuk menggali kubur seluas 0.8 meter dengan kepanjangan dua meter dan sedalam 1.6 meter dengan setiap pasukan menunjukkan gaya serta teknik berbeza.
Selepas selesai, peserta berehat seketika sebelum menimbus semula lubang digali dan menghiasinya dengan jambak atau kalungan bunga.
Pemenang pertandingan Jumaat lalu itu akan mengambil bahagian dalam pertandingan peringkat wilayah pada November ini di Trencin, Slovakia.[SUMBER]

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...