Seorang pelukis di sini menghasilkan pelbagai lukisan unik dan menarik pada buah pisang.
Pelukis tersebut, Elisa Roche, 39, berkata, dia mendapat idea untuk menjadikan buah pisang sebagai kanvas lukisannya ketika bekerja sebagai seorang tukang masak.
“Saya berasa bosan kerana terlalu lama bekerja sebelum mengambil sebiji buah pisang dan terus melukis di atas kulit buah tersebut.
“Saya kemudian memuat naik lukisan pada buah pisang itu di laman sosial Instagram dan terkejut selepas mendapati gambar tersebut menerima pujian daripada rakan-rakan saya,” katanya.
Menurutnya, sejak itu dia mula melukis pada buah pisang dan memuat naik pelbagai hasil karyanya di Instagram.
“Beberapa buah majalah terkenal pernah meminta kebenaran untuk menerbitkan hasil karya saya dan sejak itu saya mengambil keputusan untuk meneruskan minat saya ini,” katanya.